Info Berita Terkini Anda...Limbang Tanah Air Ku

Sabtu, 25 Jun 2011

Anwar wajib letak jawatan – Zul Noordin

KUALA LUMPUR 24 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib meletakkan segala jawatannya selepas dua pakar dari Amerika Syarikat (AS) mengesahkan lelaki dalam klip video seks yang ditayangkan oleh trio Datuk ‘T’ menyerupai Ketua Pembangkang itu.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) berkata, pakar dari AS itu juga mengesahkan rakaman video seks terbabit adalah tulen dan tidak ada sebarang ‘tampering’ (diubah-ubah) serta ‘superimpose’ (imej ditindih).
Menurut beliau, bukan itu sahaja, kamera litar tertutup (CCTV) hotel turut membuktikan Anwar dan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah berada di lobi hotel tersebut ketika tarikh rakaman klip berlaku.
“Dia wajib letak jawatan. Semua jawatan. Tiada dolak-dalih, tiada putar-belit dan tiada bohong lagi. Semuanya sudah jelas. Letaklah semua jawatan; politik, kerajaan dan lain-lain.
“Letaklah jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh; letaklah jawatan sebagai Ketua Pembangkang; letaklah jawatan sebagai Ketua Umum dan Penasihat PKR serta letaklah jawatan Penasihat Ekonomi Selangor.
“Hentikanlah sandiwara dan lakonan jijik serta kotor ini. Hentikanlah mengheret dan memperkudakan para ulama terutama dari Pas. Ringkasnya, pergilah bertaubat. Cucilah diri,” katanya dalam entri terbaru bertajuk ‘Dah terang bersuluh pula!’ di blognya, http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, selain pengesahan pakar dan bukti daripada CCTV, kelibat Shazryl Eskay turut muncul dalam klip video tersebut.
“Klip video berkenaan juga mengesahkan terdapat tiga watak di dalamnya iaitu seorang lelaki (Shazryl Eskay), seorang lelaki dikenal pasti sebagai Anwar dan seorang wanita berbangsa Cina.
“Perlu saya tekankan di sini, kita tidak menuduh Anwar berzina dengan wanita itu. Itu persoalan yang perlu dibuktikan di Mahkamah Syariah berdasarkan beban pembuktian yang ditetapkan syarak.
“Apa yang penting di sini ialah video tersebut membuktikan Anwar Ibrahim tidak layak menjadi pemimpin, apatah lagi menjadi Perdana Menteri sebuah negara umat Islam,” tegas beliau.
Katanya, dalam beberapa kejadian yang berlaku di AS, Turki dan Indonesia sebelum ini, sudah ramai golongan pemimpin dan ahli politik bertindak meletak jawatan ekoran terlibat dengan ‘jenayah’ lucah.
“Tetapi di Malaysia, setelah dipanggil membela diri kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, dengan pembuktian asid deoksiribonukleik (DNA) yang jelas dan dengan klip video yang disahkan tulen, Anwar bukan sahaja tidak mahu meletak jawatan, bahkan menyalahkan kerajaan dan semua orang lain atas kegiatan tidak bermoral beliau itu.
“Kadang-kadang, bila tengok rentetan peristiwa di luar negara, orang kafir pun lebih tinggi maruah dan nilai diri serta prinsip mereka,” ujarnya.
Zulkifli kemudiannya menggesa rakyat supaya berhati-hati ekoran sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkannya bahawa terdapat perancangan untuk membuat satu klip video palsu atau mengubah suai klip video yang ditayangkan Shazryl Eskay sehingga menimbulkan keraguan.
“Video palsu itu akan dicetak dengan banyak dan ditaburkan kepada rakyat. Kaum-kaum durjana ini kemudian akan membuat laporan polis mendakwa UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan bertanggungjawab kononnya menyebar klip video itu,” tambahnya.

Skrip lama badminton berulan



Aksi Lee Chong Wei ketika menentang pemain Vietnam, Nguyen Tien Mihn pada perlawanan suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, semalam. - AFP


KUALA LUMPUR - Skrip lama badminton negara berulang di Jakarta semalam, apabila Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia ke separuh akhir Terbuka Indonesia setelah semua wakil negara terkandas awal pada suku akhir.
Chong Wei mempamer aksi meyakinkan dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia, Ogos ini apabila mudah menundukkan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-10, 21-14 hanya dalam masa 34 minit.
Juara Terbuka Indonesia 2007, 2009 dan 2010 itu kini bakal menerima ujian bintang muda China, Chen Long yang mara selepas mengetepikan rakan senegara, Du Pengyu 21-14, 21-15 semalam.
Ketika prestasi Chong Wei tidak diragui, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, sebaliknya mempamer aksi mencemaskan tujuh minggu menjelang Kejohanan Dunia, apabila tunduk kepada pasangan bukan pilihan tuan rumah, Mohammad Ahsan-Bona Septano 19-21, 15-21.
Turut membimbangkan adalah kegagalan pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui untuk kembali menjadi beregu yang digeruni apabila tunduk 17-21, 21-17, 17-21 kepada pasangan tuan rumah, Vita Marissa-Nadya Melati.
"Pada set pertama, mereka mengawal permainan dan mendahului 14-10, namun Boon Heong dan Kien Keat hilang fokus apabila diberi tekanan berterusan, bukan saja oleh lawan tetapi juga penyokong.
"Mereka tidak mampu bangkit pada set kedua. Saya nampak permainan mereka seperti dipaksa-paksa dan serba tidak menjadi. Banyak kelemahan yang didedahkan dalam perlawanan ini,'' kata Rexy ketika dihubungi di Jakarta.
Bagaimanapun tegas Rexy, kekalahan beregu No. 4 dunia itu tidak mencemaskan menjelang Kejohanan Dunia kerana Terbuka Indonesia bukan sasaran utama, sebaliknya ia sekadar medan persiapan sebelum berdepan pentas lebih besar.
Malah dia percaya, suasana di Stadium Tertutup Bung Karno mendorong banyak kejutan berlaku. Kelmarin, bintang China, Lin Dan dan beregu Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae menjadi mangsa kejutan, manakala pada suku akhir semalam, beregu No. 1 dunia, Mathias Boe-Carsten Morgensen dan Kien Keat-Boon Heong berdepan nasib serupa. Juara dunia, Chen Jin turut dikejutkan pemain Jepun, Sho Sasaki 18-21, 21-12, 21-15.
Rexy juga percaya, tempoh tujuh minggu sebelum kejohanan di London bermula pada 8 hingga 14 Ogos ini masih cukup untuk memperbaiki kelemahan yang ada, malah dia akan memastikan pasangan itu kembali ke gelanggang latihan sejurus tiba di tanah air. "Saya mahu mereka kembali berlatih secepat mungkin, tiada rehat kerana mereka perlu memperbaiki kelemahan," katanya.

Empat sekeluarga maut nahas




KENDERAAN pelbagai guna remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46.7, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, Kulaijaya, semalam.


KULAIJAYA 24 Jun – Empat sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 18 bulan maut manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46.7, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, di sini hari ini.
Kesemua mangsa yang terbunuh di tempat kejadian ialah Wong Tong Hing, 66; isterinya, Fong Kum Ngoh, 60; adiknya, Fong Kum Kai, 59, dan cucu lelakinya, Wong Jing Xuan, 18 bulan.
Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk bedah siasat.
Dua lagi penumpang iaitu anak perempuan Tong Hing, Wong Ai Ling, 35, dan menantunya, Ng Chai Yuin, 21, yang hamil sebulan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, nahas berlaku pukul 9.45 pagi ketika Tong Hing bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Bandar Putra Kulai menghala ke Melaka.
“Tong Hing memandu MPV jenis Nissan Grand Livina dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan dan melanggar tembok berhampiran jejantas Felda Sungai Nyamok,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jiran mangsa, Kam Tee Chin, 52, ketika ditemui di Hospital Kulaijaya memberitahu, Tong Hing bekerja sebagai juruteknik di sebuah negara Arab pulang ke rumahnya di Bandar Putra Kulai Rabu lalu dan merancang ke Melaka bagi merawat penyakit hati yang dihidapi isterinya.
“Mereka juga bercadang untuk bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama-sama tetapi anak lelakinya, Wong Siang Zhen, 29, tidak ikut serta kerana bertugas di Singapura,” katanya.
Seorang pekerja kepada isteri Tong Hing, Lai Moy Kian, 38, pula berkata, majikannya itu bercadang untuk menghabiskan cuti bersama keluarga di Port Dickson.
“Dia juga sempat memasak di restoran miliknya sebelum pergi ke Melaka. Dia ada beritahu kami, mereka sekeluarga pergi tak lama kerana mahu membuka perniagaan pada Ahad nanti,” katanya.

Pelajar diserang sekumpulan pelajar perempuan tuntut ‘wang perlindungan’ RM600


Video-pelajar-perempuan-cina-SMK-Raja-Abdullah-dibuli-dalam-kelasKUCHING: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dari Gita mendakwa dirinya diserang oleh sekumpulan pelajar perempuan lain yang cuba untuk memeras ugut wang da r ipadanya , kel – marin.
Insiden tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 3.30 petang apabila mangsa bersama dua lagi rakannya ditahan oleh enam pelajar tingkatan enam di pintu pagar sekolah ketika hendak pulang ke rumah.
Kumpulan itu dipercayai meminta RM600 daripada mangsa sebagai ‘wang perlindungan,’ tetapi mula menyerang apabila mangsa memberitahu yang mereka tidak mempunyai wang.
Mangsa juga diberi amaran agar tidak memberitahu perkara tersebut kepada pihak polis jika tidak akan terus dipukul oleh mereka.
Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan memberitahu perkara tersebut kepada bapanya yang kemudian membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.
Pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas kes tersebut.
Dalam satu kejadian berasingan, sembilan pekerja asing ditangkap semalam selepas dipercayai merusuh gara-gara didakwa memukul seorang pengawal keselamatan di sebuah tapak pembinaan.
Insiden tersebut dipercayai ber laku di sebuah tapak pembinaan di Kota Sentosa sekitar jam 7 malam kelmarin.
Menurut laporan polis yang dibuat mangsa, pihak polis tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan mengenainya dan menangkap kesemua pekerja asing itu untuk siasatan lanjut.