Info Berita Terkini Anda...Limbang Tanah Air Ku

Rabu, 22 Jun 2011

Datuk ‘T’ bakal didakwa Jumaat ini


PETALING JAYA: Kumpulan trio ‘Datuk T’ akan didakwa atas pendedahan mengenai klip video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jun ini.
Perkara itu disahkan oleh salah seorang trio iaitu Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dihubungi sebentar tadi.
Dua lagi tokoh terbabit ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Shuib Lazim.

Menurut Eskay, beliau hanya menerima satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengatakan beliau akan didakwa, namun enggan mengulas lanjut berhubung SMS tersebut.
Sebelum ini FMT menerima maklumat bahawa Datuk ‘T” akan didakwa di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 24 Jun ini jam 8 pagi.
“Ya saya ada terima SMS bahawa kami akan didakwa kerana mendedahkan klip video seks tersebut. Petang ini saya akan berbincang lanjut bersama Shuib dan Thamby Chik mengenai hal ini.
“Jika kami didakwa kami akan hadir bertiga tanpa diwakili peguam. Namun apa-apa perkembangan lanjut akan diketahui petang ini,” katanya kepada FMT.
Pada 21 Mac lalu, dunia politik tanah air digemparkan apabila sekumpulan wartawan dipertontonkan rakaman video seks di hotel Seri Carcosa di sini oleh kumpulan tiga lelaki yang menggelarkan diri mereka Datuk T.
Rakaman video yang didakwa melibatkan Anwar didedahkan sebagai amaran supaya pemimpin tersebut serta isterinya berundur dari dunia politik.
Malah Eskay pada 29 April lalu melafazkan sumpah laknat (mubahalah) di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur bahawa beliau bersama Anwar berada dalam paparan video seks yang  ditayangkan kepada sekumpulan media 21 Mac lalu.
Dalam lafaznya, Eskay berkata, “pada hari ini 29 April, saya Shazyrl Eskay bin Abdullah dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, bersumpah bahawa aku dengan Anwar berada dalam paparan video pada 21 Februari 2011 dan Anwar adalah pelaku dalam video. Sekiranya aku berlaku fitnah maka Allah akan melaknat aku.”

Aktiviti kebudayaan diperhebat

LIMBANG:Kerajaan akan terus memperhebatkan aktiviti kebudayaan pelbagai kaum di negeri ini termasuk menganjurkan simposium dan pameran kebudayaan setiap tahun.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata usaha berkenaan dapat mempromosikan dan memperkenalkan kepelbagaian budaya dan adat resam setiap masyarakat ne-geri ini.
Menurutnya kaedah pelaksanaan program kebudayaan berbentuk simposium dan pameran dapat menyuburkan dan melestarikan keunikan budaya yang menjadi identiti setiap kaum.
“Kerajaan amat menggalakkan dan memberi soko-ngan padu terhadap pelaksanaan aktiviti kebudayaan di negeri ini.
“Malah pelaksanaan simposium dan pameran kebuda-yaan setiap tahun membukti-kan kerajaan mahu kebuda-yaan kaum di negeri ini dihidupkan,” katanya.
Jabu berkata demikian ketika merasmikan Adau Gayo Babulang dan Lumba Kerbau di sini semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Ne-geri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN        Telang Usan Dennis Ngau, Residen Limbang Maria Hasman, Presiden Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) Antonio Kahti Galis dan jemputan lain.
Jabu berkata lagi, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11 bukan saja menumpukan kepada proses infrastruktur, pendidikan        dan prasarana lain tetapi juga usaha untuk menggalakkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan.
“Semua aktiviti kebudayaan yang menonjolkan keunikan alat muzik, tarian, adat resam dan tradisi kaum di Sarawak termasuk kaum Bisaya akan diperhebatkan.
“Inilah usaha dan kepriha-tinan kerajaan BN kerana kebudayaan berkenaan begitu signifikan untuk negeri Sara-wak,” jelasnya.
Menyentuh mengenai kemeriahan Pesta Babulang, beliau gembira dengan sam-butan yang ditunjukkan oleh 10,000 ribu kaum minoriti Bisaya dari seluruh negeri berkumpul meraikan pesta ber-kenaan.
“Kaum Bisaya sanggup berkorban untuk meraikan hari istimewa (Pesta Babulang) yang diadakan dengan pelbagai pengisian program termasuk Nakod Babulang, tarian tradisional, alat muzik dan adat resam lain,” kata-nya.
Beliau yakin Pesta Babulang yang berkonsepkan adat resam masyarakat Bisaya berpotensi untuk dibangun-kan sebagai produk pelanco-ngan sejak ia dianjurkan lapan tahun lepas.
Jelasnya Sarawak mem-  punyai pelbagai keistime-waan dan kekuatan tersen-     diri melibatkan keunikan  budaya, adat resam dan alam semula jadinya untuk dipromosikan kepada pelancong luar.
“Unsur-unsur budaya yang ada di kalangan masyarakat adalah asas kekuatan yang kita miliki.
“Justeru kerajaan amat menekankan aspek dan bidang berkenaan dimajukan, di-        terokai dan dibangunkan,” ujarnya.
Katanya kerajaan turut mengiktiraf kaum Bisaya bukan saja daripada aspek ke-budayaannya yang tersendiri termasuk memilih pemimpin daripada kalangan kaum Bisaya.
“Pada pilihan raya negeri lepas kerajaan turut melantik wakil rakyat daripada kaum Bisaya di konstituensi Batu Danau untuk menjadi pe-mimpin.
“Keupayaan pemimpin daripada kaum Bisaya ter-  nyata terbukti apabila me-menangi kerusi Batu Danau dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya lepas,” kata-nya.
Terdahulu Jabu turut mengumumkan peruntukan ke-rajaan berjumlah RM10,000 kepada PBS pada majlis sama.
KEKALKAN ADAT TRADISI: Jabu (duduk) merasmikan Majlis Nakod Babulang bagi kaum Bisaya sambil disaksikan yang lain, semalam.

CUEPACS minta penjawat awam terus dinaikkan pangkat selepas berkursus

ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (Prospek), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.
“Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif Prospek tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat,” kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.
Beliau berkata CUEPACS juga menuntut agar pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan.
“Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam Prospek konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Risda Kedah di sini semalam.
Beliau berkata CUEPACS telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung Prospek.
Katanya terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam Prospek supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
“Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama,” katanya.
Omar juga berkata CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180. 

ADUN DAP tetap tidak akan pakai songkok

KUCHING: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP tetap dengan pendirian mereka untuk kekal tidak memakai songkok dalam Persidangan DUN Ke-17 ini.
Pengerusi DAP Negeri yang juga ADUN Bukit Assek Wong Ho Leng berkata, ia bukan satu kemestian bagi mereka untuk memakai pakaian rasmi tersebut.
“Negara ini mengamalkan kebebasan untuk beragama, jika kita memakai songkok di mana kebebasan untuk beragama?.
“Ia adalah satu pembaziran kerana mana ada orang buat pakaian rasmi yang dipakai sekali setahun dengan harga RM2,000 sepasang.
“Itu terlalu mahal dan wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan DUN Ke-17 di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemakaian pakaian rasmi dan songkok semasa persidangan.
“Dalam persidangan yang lepas, Speaker DUN telah menggariskan bahawa ia tidak menjadi satu kemestian untuk memakai pakaian rasmi selagi kami memakai pakaian hitam.
“Selagi ia bukan satu kemestian, 12 daripada kami akan hadir memakai pakaian hitam.
“Bagaimanapun, saya tidak katakan ADUN PKR, mereka ada mengatakan akan memakai pakaian rasmi… itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Selain itu, Wong turut menyatakan mengenai isu yang dibangkitkan mereka disifatkan ‘sampah’ adalah sesuatu perkara yang tidak beretika.
“Kenyataan BN sudah menyediakan tong sampah yang besar untuk membuang ‘sampah’ (isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat) daripada kami adalah se-suatu yang tidak ada kelas,” katanya ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh ADUN Baleh yang juga Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing baru-baru ini.
Pada masa yang sama, beliau tidak menafikan bahawa akan berlaku banyak celahan daripada ADUN BN dalam persidangan itu nanti.
“Kami akan buat apa yang kami perlu buat untuk rakyat, kami juga tidak takut kepada mereka (BN)…dijangka banyak celahan akan dilakukan semasa kami membentangkan usul itu nanti,” ujarnya.

RM1.18 bilion laksana 62 projek di Sarawak hingga April, kata Najib

Daripada sembilan, KKLBW peroleh dana tertinggi iaitu RM535.26j
KUALA LUMPUR: Sebanyak 62 program atau projek dengan nilai RM1.18 bilion telah diumum untuk dilaksana di Sarawak sehingga 30 April lepas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu sebanyak 52 projek dilaksana tahun ini manakala selebihnya akan dilaksanakan tahun berikutnya.
“Program atau projek yang diumumkan merupakan sesuatu yang telah dirancang lebih awal,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) ingin tahu nama projek dan nilai projek pembangunan yang telah diumumkan oleh setiap kementerian dalam dua bulan sebelum dan semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lepas dan jumlah projek yang akan dilaksana tahun ini.
Najib berkata, daripada sembilan kementerian yang diberikan peruntukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) memperoleh dana tertinggi iaitu RM535.26 juta, diikuti Kementerian Kesihatan RM212.53 juta, Kementerian Kerja Raya RM200 juta, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air RM70 juta, Kementerian Pelajaran RM65.64 juta, Kementerian Pertahanan RM48 juta, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani RM20 juta, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi RM4.5 juta dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar RM2 juta.
Perdana Menteri berkata, nilai keseluruhan itu juga termasuk dana RM22.75 juta menerusi peruntukan khas Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
Najib berkata, projek bekalan air, projek bina, naik taraf jalan dan lorong serta pembinaan jeti dan jambatan diberikan peruntukan besar berjumlah RM852.66 juta manakala RM278.17 juta adalah untuk membina serta menaik taraf klinik dan hospital.
“Peruntukan selebihnya adalah untuk sumbangan dan bantuan, rumah ibadat bukan Islam serta lain-lain,” katanya.

Argentina belasah Albania 4-0 dalam aksi pemanas badan

BUENOS AIRES, Argentina: Lionel Messi mengumpan dua gol dan menjaringkan satu gol ketika Argentina membelasah Albania 4-0 di Monumental di sini Isnin lepas (pagi Selasa waktu Malaysia) untuk perlawanan persiapan terakhir mereka menjelang kejohanan Copa Amerika pada awal bulan hadapan.
Penyerang Ezequiel Lavezzi meletakkan pasukan tuan rumah Copa Amerika itu di hadapan seawal minit kelima untuk menewaskan penjaga gol Arjan Beqaj selepas menerima umpanan cantik daripada Messi.
Argentina, yang mengawal sepenuhnya permainan, menambah jaringan dua minit sebelum rehat apabila Lavezzi pula mengumpan bola untuk disempurnakan oleh Messi.
Sergio Aguero menjaringkan gol ketiga pada minit ke-74, tidak lama selepas bintang Atletico Madrid itu menggantikan Lavezzi.
Messi, yang bermain di posisi sayap kanan, melakukan satu umpanan cantik yang kepada Aguero sebelum melepasi penjaga gol gantian, Isli Hidi.
Aguero kemudian mengumpan bola kepada seorang lagi pemain gantian, Carlos Tevez untuk gol keempat pada minit akhir. Messi menarik perhatian tiga pemain pertahanan sebelum melakukan umpanan kepada Aguero dan kemudian kepada Tevez untuk gol penyudah.
Albania tidak langsung mencipta satu peluang dengan penjaga gol Argentina, Sergio Romero hanya menyelamatkan satu cubaan mudah.
“Ia tidak sesukar yang seperti dalam Copa Amerika tetapi ia berguna untuk pergerakan kami,” kata Tevez ketika memberitahu TV Argentina.
“Perlawanan seperti ini membantu memberikan kami keyakinan dan untuk menyesuaikan diri sesama kami dengan lebih baik,” tambah Lavezzi.
Copa Amerika, yang belum dimenangi oleh Argentina sejak 1993, bermula pada 1 Julai apabila pasukan tuan rumah menentang Bolivia di La Plata dalam aksi Kumpulan A.
Final dijadualkan berlangsung di Monumental pada 24 Julai depan.

MARA Uptown tarik pengunjung ke Limbang

LIMBANG: Penganjuran program Majlis Amanah Rakyat (MARA) Uptown berkonsepkan pasar malam yang dijalankan dua kali sebulan di sini bakal menjadikan Limbang sebagai destinasi persinggahan  terkemuka bagi  pengunjung luar untuk membeli-belah.
Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata program tersebut mampu meningkatkan kuasa membeli bukan saja bagi masyarakat tempatan malah  pengunjung dari selatan Sarawak sehingga Kota Kinabalu, Sabah.
Menurutnya, hasrat menjadikan Limbang sebagai destinasi persinggahan akan tercapai berikutan perkembangan sistem perhubungan dengan terbinanya jalan raya dan jambatan bagi melancarkan dan menghubungkan Limbang dan kawasan sekitarnya.
“Kita tidak mahu Limbang hanya tempat untuk pengunjung luar singgah makan, tetapi juga perhentian bagi mereka yang ingin membeli-belah.
“Hasrat ini akan tercapai sekiranya para peniaga dan usahawan lebih kreatif dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan untuk menarik lebih ramai pengunjung luar,”katanya ketika merasmikan MARA Uptown Limbang di sini semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawan) MARA Mohd Rosdi Ismail, Residen Limbang Maria Hasman, Pengarah MARA Negeri Shazali Salleh dan jemputan lain.
Hasbi berkata, usahawan Bumiputera perlu keluar dari kepompong dan kaedah lama dalam memajukan dan memperkembangkan perniagaan mereka.
Katanya program dan aktiviti perniagaan yang sentiasa hidup dan wujud di daerah ini mampu menarik lebih ramai pembeli yang berminat dengan produk hasil keluaran mereka.
“Golongan usahawan disaran untuk lebih kreatif mempelbagaikan produk perniagaan mereka dalam memikat lebih ramai pembeli khususnya pengunjung dari negara jiran.
“Pendekatan ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pendapatan ekonomi dan memperluaskan bidang perniagaan mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa usahawan Bumiputera hendaklah terus berusaha gigih memajukan perniagaan masing-masing dan bersedia menghadapi cabaran dalam pasaran perniagaan.
Sementara itu Hasbi memberitahu bahawa MARA Uptown akan menjadi satu lagi program  bersepadu bagi menyokong aktiviti perniagaan untuk usahawan Bumiputera di daerah ini.
“Ia dijangka akan menjadi tarikan utama pengunjung ke Limbang untuk memudahkan peluang perniagaan peniaga Bumiputera di kawasan bandar,” katanya.

Malaysia, Brunei capai persetujuan bina jambatan rentangi Sungai Pandaruan

LIMBANG: Malaysia dan Brunei mencapai persetujuan untuk membina jambatan merentangi Sungai Pandaruan yang memisahkan bahagian Limbang di Malaysia dan Temburung di Brunei.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata perbincangan dengan Brunei mengenai pembinaan jambatan tersebut sudah dijalankan sebelum ini bagi memudahkan sistem perhubungan kedua-dua negara.
Beliau berkata momerandum tersebut sudah dihantar ke kabinet dan jemaah menteri bersetuju untuk membina jambatan untuk kebaikan rakyat di kedua-dua wilayah itu.
Menurutnya keputusan secara persetujuan antara Malaysia dan Brunei sudah dicapai untuk membina jambatan menyeberangi Sungai Pandaruan.
“Pegawai dari Brunei akan mengadakan perbincangan dari segi teknikal dengan Kementerian Kerja Raya untuk melihat sendiri pendekatan yang diguna pakai Malaysia dengan Thailand dalam menguruskan CIQ di Bukit Bunga Kelantan.
“Mereka ingin melihat kaedah sama untuk diguna pakai di Pandaruan dan Temburong Brunei,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Limbang semalam.
Turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, calon BN kerusi Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Maria Hasman, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Rumai Galis dan jemputan lain.
Beliau berkata pembinaan jambatan di Sungai Pandaruan selebar 20 meter yang turut menjadi sempadan dua kawasan itu, pas-tinya akan memudahkan lagi perhubungan keluar masuk pengguna kenderaan darat terutama pada waktu puncak.
“Walaupun tidak sampai 100 meter tetapi ia mendatangkan impak mendalam kepada orang ramai kerana terpaksa beratur panjang lima hingga enam jam terutama pada musim perayaan,” ujarnya.
“Sekarang ini perbincangan hanya dari segi teknikal saja dan Brunei ingin melihat contoh jambatan menyeberangi Sungai Golok.
“Kita percaya jika kata sepakat dapat dicapai dalam tiga hingga empat bulan jambatan itu boleh dibuat pada tahun ini,” tambahnya.
Menurutnya dengan kos bernilai RM25 juta, perkara itu perlu dibincang dengan baik untuk kebaikan bersama Malaysia dan Brunei.
Ketika ini kerajaan Malaysia dan Brunei bekerjasama dalam menanggung kos operasi feri di sungai tersebut dengan caj minimum RM8 untuk kenderaan persendirian dan maksimum RM150 untuk kenderaan berat termasuk treler.
Shaziman menambah lagi pembinaan jambatan itu membuktikan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara dalam mencapai persetujuan bersama.
“Selain itu kemudahan ini menunjukkan dasar kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memahami keperluan serta mendahulukan rakyat.
“Malah beliau sendiri mengadakan perbincangan dengan Brunei agar perkara itu dapat diselesaikan sebaik mungkin,”katanya.
Dalam pada itu katanya kementeriannya juga akan menaik taraf jalan Pan Borneo dari Miri sehingga ke Kota Kinabalu.
“Projek ini dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
“Buat masa ini ada kawasan yang sering berlaku banjir dan kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menangani masalah banjir dan kerja meluruskan selekoh tajam sepanjang jalan Pan Borneo,” katanya.

sumber: Utusan Borneo
Posted on April 12, 2011, Tuesday