Info Berita Terkini Anda...Limbang Tanah Air Ku

Rabu, 29 Jun 2011

Kerajaan Pas Kelantan kaji tambah lesen arak



KOTA BHARU 29 Jun - Kerajaan Pas Kelantan sedia mengkaji cadangan masyarakat Cina di negeri ini yang mahu menambahkan lesen perniagaan dan premis minuman arak di negeri ini, kata anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri berkata, kajian itu bergantung kepada kewajaran dan keperluan lesen itu dikeluarkan terutama di bandar Kota Bharu.
"Kita sedia mengkaji dan menimbang cadangan itu dan suatu perbincangan akan diadakan antara kerajaan negeri dan masyarakat Cina di negeri ini yang akan turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Negeri di sini hari ini.
Katanya, setakat ini MPKB telah mengeluarkan lebih 20 lesen premis menjual arak di sekitar bandar dan ini tidak termasuk yang diluluskan oleh 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di jajahan lain.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kerajaan Pas Kelantan menerima notis saman pemula yang difailkan tiga peniaga terhadap tindakan kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) kerana mengharamkan penjualan tiket loteri kebajikan.

Sifat malu makan diri sendiri

 
ANA Raffali tidak pernah mengelak daripada bekerjasama dengan media.



CAKAP-cakap belakang mula kedengaran tentang pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), Ana Raffali, 26, yang kini dikatakan mula bersikap sombong.
Biarpun kehadirannya dalam industri hiburan tanah air masih terlalu hijau namun pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku itu dilihat mula menunjukkan taringnya yang sebenar dengan mula mendabik dada.
Insiden yang berlaku beberapa kali termasuk dia mengelak untuk ditemubual oleh wartawan seolah-olah mengiyakan lagi sikap sombong yang terpancar pada diri pasangan duet Sohaimi Mior Hassan itu.
Justeru, apabila Hits berkesempatan bertemu dengan Ana di Majlis Sambutan Hari Koperasi Karnival, Kokurikulum dan Kerjaya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, baru-baru ini, persoalan itu dilontarkan terus kepadanya.
Ana terkesima dengan terjahan soalan yang mungkin berbaur sedikit keras tetapi dia bersikap tenang dan tidak melenting sebelum menjawab soalan cepumas itu.
"Bila pula masanya saya sombong? Saya masih lagi Ana Raffali yang dahulu di mana masih lagi tahu untuk membawa diri dan berpijak di bumi nyata.
"Sudah tentu sebagai pendatang baru, saya tidak boleh bersikap sombong. Lagipun itu bukan pegangan saya.
"Malah saya tidak pernah cuba untuk mengelak apabila diminta untuk ditemubual wartawan," ujar Ana tenang dalam menyangkal dakwaan tersebut.
Bagaimana pun, kata Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, dia tidak mampu menghalang sesiapa sahaja daripada membuat pelbagai andaian terhadap dirinya.
Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, apa juga pandangan yang dilemparkan ke atas dirinya, bukan sahaja diterimanya dengan hati terbuka malah tidak sedikit pun menggusarkan dirinya.
Baginya, setiap prasangka buruk yang dilemparkan itu besar kemungkinan datang daripada individu atau pihak-pihak tertentu yang tidak mengenali dirinya dengan rapat.
Oleh itu, tegasnya, andaian berdasarkan faktor luaran mendakwa dirinya sombong, tidak tepat sama sekali.
"Biasalah apabila kita tidak mengenali seseorang itu dengan dekat, sudah pasti berbagai-bagai andaian boleh disimpulkan melalui pandangan mata kasar apabila melihat seseorang itu tidak ramah.
"Sedangkan apabila kita mengenali dan mula bertegur sapa, persepsi negatif itu sebenarnya tidak betul," luah Ana yang kini mula merancang untuk melahirkan album terbarunya.
Ana terdiam sejenak apabila terus dihujani dengan persoalan itu.
Sambil menarik nafas dalam-dalam, dia mengakui pandangan skeptikal terhadap dirinya itu timbul kerana salah faham.
Kepada pihak yang mendakwa dirinya mula berlagak diva, kata Ana, mereka seharusnya cuba untuk mendekati dan meluangkan masa bersamanya.
Langkah itu, ujarnya penting kerana andaian negatif yang dilemparkan ke atas dirinya perlu diperjelaskan supaya karakternya tidak disalah ertikan.
"Cubalah bertanya kepada kawan-kawan dan keluarga tentang karakter sebenar Ana Raffali kerana mereka inilah yang sering berdampingan dengan saya.
"Dengarkan dahulu jawapan, kemudian buatlah perbandingan atau kesimpulan sendiri sama ada benar atau tidak yang saya ini sombong," ujar bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu.
Ana menyedari kelemahan dirinya yang sukar untuk mesra dengan sesiapa sahaja tatkala bertemu buat pertama kali membuatkan dia disalah anggap sebagai sombong.
Jujurnya dia mengakui, perasaan malu yang amat menebal di jiwanya sukar untuk dikikis walau pun berhadapan dengan peminatnya sendiri.
Maka itulah, katanya, dia agak sukar untuk memulakan perbualan sekiranya orang yang ditemuinya itu, tidak memulakan bicara.
"Saya jarang menegur atau berbual-bual dengan orang yang saya tidak biasa. Lagi pun, saya agak keberatan untuk menegur orang tanpa ada tujuan.
"Saya juga tidak mungkin bersikap mesra tanpa mengira tempat kerana saya bimbang jika ada pula orang berkata, saya gedik," luah Ana disusuli dengan tawa kecil.
Latihan jadi askar
Ditinggalkan topik sombong, gadis manis berperwatakan lembut itu sebenarnya mempunyai jiwa yang kental untuk menjadi seorang wirawati negara.
Teringat akan ketangkasan anak bendahara Melaka suatu ketika dahulu, Tun Fatimah yang berani dan bersemangat waja, tidak siapa menduga Ana berani tampil untuk menyertai pasukan Simpanan Askar Wataniah.
Bersama dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Aizat dan aktor yang memenangi anugerah artis paling popular tahun lalu, Shaheizy Sam, Ana mengakui seronok untuk mengikuti latihan rekrut sebagai askar Wataniah.
"Tidak sabar-sabar rasanya untuk memulakan sesi latihan yang dijangka bermula bulan depan. Teringin nak rasa, bagaimana menjadi seorang perajurit.
"Biarpun dari awal telah dimaklumkan bahawa latihan yang akan diikuti itu tidak sekeras latihan askar sebenar, ia tetap membuatkan saya teruja untuk memasuki kem.
"Inilah peluang yang saya ada untuk menimba dan merasai pengalaman baru yang pasti akan memberikan satu pengalaman berharga untuk saya," ujar Ana yang telah tampil dengan single terbarunya, Cuba Jangan.
Jelas Ana lagi, dia sebenarnya berminat untuk menyertai pasukan beruniform negara tetapi tidak pernah berpeluang disebabkan bebanan kerja yang banyak.
Justeru, katanya, apabila Kementerian Pertahanan membuka peluang kepadanya untuk menyertai pasukan askar simpanan itu, dia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.
"Banyak kelebihan jika kita menyertai pasukan beruniform ini kerana secara peribadi, saya melihatnya sebagai salah satu cara untuk meningkatkan jati diri.
"Melalui latihan yang diberikan itu nanti, mungkin saya boleh jadi seorang yang lasak. Secara tidak langsung, saya juga boleh memperkuatkan mental saya," getus Ana yang turut tercalon dalam Anugerah Planet Muzik (APM) yang bakal berlangsung pada 15 Julai ini di Singapura.
Tukar warna kulit
MENGENANGKAN sesi latihan yang bakal diikutinya, Ana tidak bimbang sekiranya warna kulitnya bertukar menjadi gelap gara-gara berjemur di bawah cahaya matahari.
Baginya, pertukaran warna kulit juga bukan satu masalah besar kerana sesiapa sahaja yang terdedah di bawah matahari, pasti akan menjadi gelap.
"Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kehidupan seharian juga boleh membuatkan warna kulit kita bertukar menjadi gelap.
"Oleh itu, cara untuk melindungi diri daripada pancaran matahari adalah penting.
"Jadi, antara persiapan untuk menjalani latihan di kem kelak, saya akan pastikan ada stok krim pelindung matahari untuk dilumur ke bahagian tubuh yang terdedah kepada matahari," katanya sambil ketawa.

Hambat kemenangan


K. RajagoBal (tiga dari kiri) sempat menguji kebolehan anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia akan menentang Taiwan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014, malam ini



PETALING JAYA - Kurang tempoh 24 jam perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Taiwan, Datuk K. Rajagobal terus berteka-teki mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan di Stadium Nasiona,l Bukit Jalil, malam ini.
Tanpa mahu mendedahkan tahap kecederaan pemain-pemain utamanya seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahya, beliau berkata, mungkin akan terdapat kejutan dalam senarai kesebelasan utama yang akan diturunkan pada malam ini.
''Saya masih menunggu sehingga saat akhir perkembangan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan dengan mengambil kira pandangan nasihat dan pandangan pegawai fisioterapi.
''Seperti Khairul Fahmi, saya mungkin akan membuat keputusan selepas sesi latihan terakhir. Mungkin dia boleh bermain atau mungkin tidak. Seandainya dia tidak dapat diturunkan, mungkin perlawanan di Taiwan kelak, khidmatnya dapat digunakan.
''Saya tidak boleh menurunkan pemain yang baru pulih daripada kecederaan begitu sahaja, hanya pemain yang benar cergas sahaja saya akan turunkan pada perlawanan esok (hari ini).
''Anda semua boleh membuat analisis sendiri pemain mana yang akan diturunkan tetapi mungkin saya akan membuat kejutan dalam kesebelasan utama pada hari esok dengan mengambil kira semua faktor," katanya di Wisma FAM, semalam.
Bercakap selepas sidang media mesyuarat pengurus pasukan Malaysia dan Taiwan menjelang perlawanan malam ini, Rajagobal menegaskan, sasaran utama beliau adalah mendapat sebarang kemenangan tanpa terlalu mahu memikirkan soal mendapatkan bekalan selesa.
Pada sidang media berkenaan, delegasi Taiwan diwakili jurulatih, Lo Chih-Tsung dan kapten, Chen Yu-Lin sementara Harimau Malaya diwakili kapten pasukan, Safiq Rahim.
''Perkara pertama yang saya mahukan selepas pemain turun ke padang ialah bermain dengan baik dan cuba mendapatkan kemenangan walaupun ia sekadar 1-0.
''Soal mendapatkan bekalan selesa atau tidak itu perkara lain, bermain di gelanggang sendiri tidak semestinya boleh memberikan kemenangan besar.
''Saya tidak boleh ramalkan keputusan yang kita boleh menang, namun apa yang saya boleh harapkan pemain mengambil kesempatan di atas segala peluang yang terhidang tetapi sebagai jurulatih, saya cukup optimis dan rasa teruja mengenai peluang negara dalam pusingan kelayakan kali ini," ujarnya.
Menyentuh Taiwan yang akan ditemuinya, Rajagobal mengakui dia sama sekali tidak akan memandang mudah cabaran lawan sambil melihatkan ancaman pasti akan datang di bahagian sayap.
''Dua pemain sayap mereka iaitu yang memakai jersi nombor 9 dan 10, cukup bagus di samping mempunyai penyerang yang cukup rajin. Begitu juga pertahanan mereka yang agak kuat," tegas Rajagobal.