Info Berita Terkini Anda...Limbang Tanah Air Ku

Selasa, 21 Jun 2011

Limbang cari pemain handal

  
Liga yang melabuh tirai bulan depan platform bentuk pasukan cabar Piala S’wak
LIMBANG: Persatuan Bola Sepak Limbang (PBSL) akan menganjurkan Liga Limbang 2011 mulai pertengahan bulan depan untuk mencari pemain-pemain berkaliber bagi membentuk pasukan mantap bagi memburu kejuaraan Piala Sarawak, musim ini.
Pengerusi penganjur Alidin@ Brahim Tawar berkata, kejohanan itu adalah platform bagi pemain-pemain berpotensi mewakili Limbang dikenal pasti berdasarkan prestasi yang dilakarkan sepanjang liga berlangsung nanti.
“Inilah permulaan kita untuk mencari pemain mewakili pasukan Limbang bagi menghadapi saingan Piala Sarawak musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
“Kita optimis ramai pemain muda tempatan yang berpotensi untuk diasah bakat mereka menerusi liga ini berdasarkan pengalaman kita dalam menganjurkan kejohanan ini sejak tiga tahun lepas.”
Alidin yang juga Timbalan Pengerusi PBSL berharap, setiap pasukan akan menyajikan persembahan yang lebih mantap berbanding tahun lalu pada saingan liga yang akan melabuhkan tirainya, Jun nanti.
“Kita yakin dapat mencapai matlamat itu memandangkan semangat dan prestasi pemain yang begitu memuncak,” tambahnya.
Alidin memberitahu, ramai pemain yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam edisi-edisi Liga Limbang lepas.
Beliau turut teruja dengan semangat tinggi yang ditonjolkan oleh para pemain semasa sesi latihan bagi menguatkan aspek fizikal dan mental bagi menghadapi kancah liga musim ini.
Menurut beliau lagi, penganjuran Liga Limbang saban tahun merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail untuk memantap dan memartabatkan bola sepak tempatan.
“Dr Rahman yang juga Pengerusi PBSL turut berusaha untuk meningkatkan mutu penganjuran Liga Limbang… untuk menjadikannya lebih berprestij berdasarkan sambutan luar biasa dari kalangan peminat sukan nombor satu itu,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, pelbagai habuan menanti pasukan-pasukan yang berjaya pada liga kali ini.
“Juara akan menerima trofi piala pusingan Piala YB Dr Abdul Rahman Ismail dan wang tunai RM5,000,” ujarnya.
Naib juara, katanya, akan membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat ketiga, RM1,500 dan keempat, RM500.
Perlawanan-perlawanan akan diadakan setiap hujung minggu di Padang Jabatan Penjara Limbang, iaitu venue sementara kejohanan.
“Tarikh tutup pertandingan ialah pada 4 Jun depan, manakala cabutan undi diadakan pada 6 Jun,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai dan para peminat bola sepak agar menyertai kejohanan tersebut, sekali gus memeriahkan lagi industri bola sepak tempatan.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Alidin menerusi talian 013-8399526 atau jawatankuasa penganjur Bolhaji Wahab (012-8728122).



 

BAKAL LEBIH HEBAT: Gambar fail ini menunjukkan Dr Rahman (kiri) menyampaikan hadiah kemenangan kepada wakil pasukan Delima FC yang muncul juara Liga Limbang tahun lepas. Kelihatan sama, Alidin (tengah). Liga Limbang 2011 akan melabuhkan tirainya pertengahan bulan depan.

Pertembungan IPD, Delima FC buka tirai Liga Limbang 2011

LIMBANG: Liga Limbang 2011 petang kelmarin (Sabtu) membuka tirai saingannya dalam suasana serba meriah ketika pasukan-pasukan yang bertanding menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah lumayan musim ini.
Pada perlawanan pembuka tirai petang kelmarin, IPD Limbang menunjukkan taringnya apabila membelasah juara musim lepas, Delima FC dengan jaringan 4-2 pada perlawanan yang berlangsung cukup sengit di Padang Penjara di sini.
Selain IPD dan Delima FC, pasukan-pasukan lain yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan itu termasuklah Sesco, Didora, PGA, Tiger, Gabungan Awat-Awat Bersatu, ABC Club, LBA, Samba, KPM Fc, ACJ dan KDKL Fc.
Hadir menyaksikan perlawanan itu ialah pengerusi pertandingan, Alidin @ Brahim Tawar dan timbalannya, Ghani Marali.