Info Berita Terkini Anda...Limbang Tanah Air Ku

Khamis, 30 Jun 2011

‘Nak tunggu raya lambat lagi’

USUNG...anggota polis dan keluarga mengangkat mayat Mohd Zamzuri Irwan (gambar kecil).
USUNG...anggota polis dan keluarga mengangkat mayat Mohd Zamzuri Irwan (gambar kecil).
 
KUALA TERENGGANU: Naluri seorang ibu yang tidak sedap hati apabila anaknya memohon maaf ketika keluar rumah sedangkan sebelum ini tidak pernah berbuat demikian, bagaikan petanda anak lelakinya itu pergi menyahut seruan Ilahi selepas terbabit dalam kemalangan malam kelmarin.
Suri rumah, Ramlah Ramli, 55, berkata, dia tidak menyangka kata yang disangka gurauan itu sebenarnya ‘permohonan terakhir’ daripada anaknya Mohd Zamzuri Irwan Mamat, 27, supaya dimaafkan segala kesalahannya sebelum ini.

“Petang semalam (kelmarin), selepas membasuh motosikalnya yang baru dibeli sebulan lalu, arwah meminta maaf dan terkejut dengan kelakuan peliknya itu saya bertanya semula kenapa cakap begitu.
“Kemudian arwah beritahu kalau nak tunggu raya lambat lagi, jadi baik minta maaf sekarang sambil saya memberitahu sentiasa memaafkannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), malam kelmarin.

Mohd Zamzuri Irwan yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian manakala rakannya, Mohd Arif Muhammad, 25, yang membonceng bersamanya parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan kereta Proton Wira di simpang tiga lampu isyarat Jalan Kampung Pasir Panjang, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Belukar Jambu, Chendering menuju ke pasar raya gagal mengawal kenderaan apabila kereta Proton Wira dipandu buruh, Yusof Rani, 53, bersama isteri dan tiga anak dalam perjalanan dari pusat bandar dikatakan membelok ke kanan memasuki simpang secara mengejut.

Akibat pelanggaran itu, Mohd Zamzuri Irwan yang bekerja sebagai buruh melambung sejauh lima meter dan topi keledar dipakainya turut tercabut serta cedera parah di badan, muka dan kepala.

Manakala, Mohd Arif pula terseret sejauh 10 meter parah di badan dan sehingga kini masih koma serta mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi HSNZ.
Sementara itu, Mohd Zulkarnain Imran, 24, adik kepada Mohd Zamzuri Irwan berkata, dia pelik apabila abangnya tergesa-gesa keluar rumah selepas Maghrib tanpa bercakap sepatah pun.

“Biasanya dia bergurau dan beritahu hendak ke mana, tetapi semalam (kelmarin) dia senyap dan hanya melihat adik-beradik lain di rumah, sedangkan dia jenis yang banyak bercakap.

“Malah apa yang menghairankan dia juga tidak menggunakan motosikal Yamaha RXZ yang baru dibasuhnya seolah-olah sayang hendak keluar kerana baru sebulan dibeli, tetapi menggunakan motosikal Yamaha LC135 milik saya,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan menyebabkan kematian manakala pemandu kereta Proton Wira terbabit diambil keterangan selama dua jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Mangsa rompakan di Kuching, Sarawak disiasat polis kerana buat laporan palsu

KUCHING: Gara-gara membuat laporan palsu bahawa wang tunai RM5,000 miliknya dirompak dua anggota polis, seorang penyelia stor kini disiasat polis.
Dalam insiden itu, lelaki berusia 42 tahun terbabit mendakwa wang berkenaan, kad pengenalan dan kad ATM miliknya dilarikan dua lelaki bermotosikal di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di sini pada 8.50 pagi semalam. "Mangsa" mendakwa kedua-dua lelaki yang berjaket hitam dan berkemeja-T dengan logo polis itu mengacukan sesuatu menyerupai pistol ke pinggangnya, sebelum melarikan duit itu yang didakwa diletakkan dalam sampul surat.

Lelaki itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Padungan di sini kira-kira 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong yang mengesahkan kejadian itu berkata, lelaki terbabit bagaimanapun mengaku membuat laporan palsu seelpas disoal siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata kes itu akan dirujuk kepada Peguam Kanan Persekutuan untuk tindakan lanjut.

Percaya kepada rezeki

SELEPAS empat tahun membina 
nama sebagai penyanyi dan komposer, Aizat kini boleh
berbangga apabila memiliki artis di bawah naungan syarikatnya


APABILA nama penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Aizat gagal tercalon dalam mana-mana kategori untuk Anugerah Planet Muzik (APM 2011), pelbagai persoalan mula timbul.
Jika hendak mengatakan pihak pengurusan Aizat tidak menghantar sebarang pencalonan untuk album keduanya, Urusan Aizat Amdan memang mustahil.
Ini kerana Aizat sendiri mengakui pihaknya sudah menghantar borang pencalonan untuk empat kategori utama termasuk Artis Lelaki Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Malaysia Terbaik.
Bukan hanya Aizat, tetapi seorang lagi penyanyi dan komposer muda terkenal, Yunalis Zarai atau Yuna juga telah menjadi mangsa 'kekejaman' pihak juri APM 2011.
Memang pelik apabila insiden itu berlaku sedangkan sebelum ini nama Aizat pernah dijulang di pentas APM pada tahun 2009 apabila dia memenangi kategori Artis Lelaki Baru Terbaik dengan menewaskan pencabar terdekatnya, Afgan.
Mengulas tentang perihal itu, Aizat dengan penuh tenang memberitahu dia langsung tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang serius.
Sebaliknya, dia berserah kepada takdir dan dia cukup optimis dengan segala ketentuan Yang Maha Esa.
"Apa yang berlaku bukannya sesuatu yang mematahkan semangat saya untuk terus berkarya. Mungkin kedengaran agak klise, tetapi, saya percaya kepada rezeki yang telah ditetapkan.
"Saya membikin sesuatu produk bukanlah untuk mengejar anugerah. Tetapi, saya lebih mahukan kepuasan dalam berkarya dan jika peminat juga berasa puas, itu satu kejayaan buat saya.
"Kalau menang, ia merupakan satu bonus dan saya menghargai segala pengiktirafan yang diberikan," ujarnya dalam nada yang cukup optimis.
Aizat berkata demikian pada majlis minum petang sempena pengumuman Konsert Borneo Tour Urusan Aizat Amdan yang berlangsung di Restoran Castle, Jalan Imbi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain isu APM 2011, Aizat juga sempat ditanya tentang khabar angin yang mengatakan lagu-lagu di dalam album Urusan Aizat Amdan tidak mendapat tempat di beberapa stesen radio tempatan.
Semuanya kerana kekuatan lagu Sungai Lui yang sehingga kini masih kuat putarannya di stesen radio walaupun pihak pengurusan Aizat sudah menghantar beberapa lagu lain untuk diputarkan.
Walhal kalau diteliti sepenuhnya, album Urusan Aizat Amdan merupakan salah sebuah karya yang cukup teliti pembikinannya dan dianggap sebagai sebuah album terbaik yang dihasilkan sepanjang tahun lalu.
Sentuhan muzik serta lagu yang dimuatkan dalam album tersebut berdiri atas landasan tersendiri sekali gus meletakkan nama Aizat sebagai karyawan muda yang wajar diberikan perhatian.
"Saya mengakui lagu Sungai Lui memang cukup kuat dan ke mana sahaja saya pergi, orang akan memperkatakan tentang lagu itu.
"Itu membuktikan bahawa percaturan saya untuk membuat kelainan dalam album ini dan juga lagu Sungai Lui itu mendapat perhatian.
"Saya dan Anas benar-benar puas hati dengan penghasilan lagu itu yang saya sifatkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihasilkan. Kalaulah hanya lagu itu sahaja yang kerap diputarkan, saya melihatnya dari sudut positif," jelas pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan tentang lagu yang cipta bersama Anas itu.
Antara lagu dalam album Urusan Aizat Amdan yang menjadi pilihan peminatnya adalah Years From Now, Mana Oh Mana, Senyum, Erti Hari Ini dan Emotions.

Belum selamat

KUALA LUMPUR - Masih belum selamat. Kemenangan 2-1 
ke atas Taiwan

Pemain Malaysia, Aidil Zafuan Abd. Razak (tengah) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan, S. Kunanlan pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 2-1.
tidak memberikan sebarang jaminan apabila skuad negara bertandang ke Taipei dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Ahad ini.
Harimau Malaya tidak sepatutnya membenarkan Taiwan pulang dengan satu gol yang hanya meletakkan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal tidak terlepas menghadapi situasi cemas, sekalipun menang di Bukit Jalil, semalam.
Sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol hasil jaringan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan Aidil Zafuan Abd. Radzak pada minit ke-54, kempen awal Malaysia tampak meyakinkan sebelum gawang negara dirobek lawan tatkala pertahanan kita alpa seketika.
Nada Rajagobal tampak sedikit kecewa selepas dua gol yang meletakkan Malaysia agak selesa, akhirnya bertukar kepada situasi mencemaskan.
''Rentak permainan kita tidak mencapai seperti apa yang dikehendaki.''
Itu rumusan Rajagobal ketika skuad kebangsaan gagal mencari bekalan selesa dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 untuk bertandang ke padang lawan, Ahad ini.
Menurutnya, pemain negara melepaskan peluang untuk mencatat jaringan lebih baik, apabila gagal memanfaatkan peluang menambah gol walaupun mendahului lawan 2-0.
"Namun, sebaliknya pasukan lawan pula yang menggegarkan gawang skuad kita, yang memberikan mereka kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri selepas ini.
"Apa yang dapat saya katakan rentak permainan kita malam ini tidak seperti yang diharapkan sehingga gagal mencari bekalan selesa untuk aksi kedua nanti," tegasnya.
Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Malaysia selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Safiq dan Aidil Zafuan.
Namun, kelekaan barisan pertahanan skuad negara menyebabkan gawang dibolosi pada minit ke-75 oleh Chen Po Liang.
Tambah Rajagobal, babak pertama memperlihatkan betapa pasukan negara mempamerkan kesungguhan walaupun bermula tidak begitu agresif pada 20 hingga 30 minit pertama perlawanan.
Katanya, selepas beliau membuat pertukaran pada kedua-dua bahagian sayap, corak permainan pasukan kebangsaan mula agresif.
"Selepas pertukaran dibuat barulah kita lihat beberapa pergerakan menarik sehingga menjaringkan dua gol.
"Ketika itu saya harap pemain dapat menjaringkan gol ketiga sebagai bekalan selesa apabila beraksi di tempat lawan di padang mereka.
"Namun, pemain gagal menterjemahkan beberapa peluang gol yang mereka peroleh. Malah, bahagian pertahanan mula tidak berdisiplin apabila saya membuat pertukaran ekoran kecederaan yang dialami Safee Sali.
"Peluang kita belum berakhir dan saya berazam untuk kami beraksi dengan lebih baik pada aksi di tempat lawan selepas ini," katanya.

KEMAS mahu lahir kanak-kanak berpotensi

Latihan dan proses pembelajaran awal diberi untuk cemerlang akademik dan kokurikulum

 
 
MENGASAH BAKAT: Para guru tabika bersama anak-anak tabika yang menyertai bola jaring.

LIMBANG: Tabika Jabatan Kemajuan dan Masyarakat (KEMAS) Limbang menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai kanak-kanak berpotensi dalam bidang akademik dan kokurikulum melalui Hari Potensi Kanak-kanak yang diadakan di daerah ini.
Penyelia Kanan KEMAS Limbang, Rusnita Pit berkata, sasaran tersebut akan tercapai sekiranya kanak-kanak dapat dilatih lebih awal dengan pelbagai program sukan sebagai salah satu daripada proses pembelajaran kepada mereka.
Jelasnya kanak-kanak di peringkat umur antara empat hingga enam tahun perlu di dedahkan dengan segala kemahiran sukan bagi membolehkan mereka menguasai dan seterusnya meminati kemahiran tersebut sehingga mereka dewasa.
“Bagi mencapai matlamat itu, Tabika KEMAS sendiri turut melaksana program Hari Potensi Kanak-kanak sejak beberapa tahun lalu dalam usaha melatih mereka lebih awal tentang acara olahraga melalui pertandingan yang diadakan.
“Ini termasuk galah panjang, rounders, bola jaring, silat, gerak rama dan Anugerah Kanak-kanak Cemerlang,” katanya pada Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Parlimen Limbang kelmarin.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.
Rusnita optimis program sedemikian mampu melahirkan ‘juara’ yang boleh diketengahkan bagi wakil zon di peringkat negeri dan daerah dalam pertandingan serupa.
“Ini juga merupakan persediaan awal dan latihan pemanasan badan kepada mereka untuk berdepan dengan Tabika KEMAS Lawas nanti selain mencari pemain untuk menjadi wakil zon pada pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan saban tahun,” katanya lagi.
Beliau menambah Hari Potensi merupakan aktiviti dwitahunan yang dianjurkan oleh KEMAS bagi mencungkil bakat dan kebolehan kanak-kanak tabika.
“Ia juga adalah satu aktiviti kokurikulum tabika dan dilaksanakan mengikut empat peringkat iaitu parlimen, zon, negeri dan kebangsaan.
“Kita juga yakin ia mampu mewujudkan kerjasama sosial dan perpaduan antara tabika dengan ibu bapa atau waris kanak-kanak, pemimpin tempatan, pertubuhan serta masyarakat amnya,” ujarnya lagi.

Semua ADUN DAP keluar Dewan sebelum Jabu habis berucap

KUCHING: Kesemua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Tindakan Demokratik (DAP) melangkah kaki keluar dewan se- belum Timbalan Ketua Men-teri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu menghabiskan ucapan penggulungan beliau pada persidangan Dewan  Undangan Negeri (DUN) semalam.
Kumpulan yang diketuai oleh Wong Ho Leng (DAP-Bukit Assek) kemudiannya memberitahu media bahawa mereka memutuskan untuk meninggalkan dewan apabila menteri enggan mengambil sebarang penjelasan daripada mereka.
“Apabila menteri itu menyampaikan ucapan penggulungan beliau, ahli bagi Kota Sentosa (Chong Chieng Jen) berdiri untuk cuba bertanya soalan berkaitan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) namun Jabu tidak memberi ruang.
“Sebaliknya beliau meneruskan dan berkata akan mendengar soalan selepas selesai menggulung topik tetapi selepas selesai, beliau terus berucap dan sengaja tidak membenarkan sebarang penjelasan daripada ahli dari Kota Sentosa berhubung SALCRA,” katanya.
Malah, beliau berkata ia ditambah lagi apabila Jabu beralih kepada isu berkaitan Rascom, di mana ADUN Kota Sentosa juga ingin membangkitkan isu bagi penjelasan mengenai Rascom namun beliau sebaliknya membenarkan soalan dari ADUN Batu Lintang (See Chee How dari PKR).
“Mengapa beliau memberikan peluang kepada Batu Lintang, saya fikir beliau patut berfikiran matang, bertanggungjawab dan adil,” katanya.
Maka itu, beliau berkata, adalah yang paling wajar mereka melangkah keluar dewan pada sepanjang  tempoh Jabu berhujah.
Mereka bagaimanapun masuk semula ke Dewan apabila Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyampaikan ucapan penggulungan beliau.

Kes kutip wang secara haram guna nama Datuk Norah dikesan berlaku di Bintangor

KUCHING: Satu kes mengutip wang awam secara haram dengan mengaitkan nama Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Abdul Rahman dikesan berlaku di Bintangor sejak tiga hari lepas.
Aktiviti haram itu dilakukan oleh seorang yang dikenali sebagai Datuk Dr Abang Zaibidin A. Zainal dan mengakui sebagai Yang Dipertua Persatuan Usahawan Bumiputera Sarawak (PUBS).
Menyedari nama beliau digunakan untuk mengaburi penduduk di kawasan terbabit, Norah membuat laporan polis menerusi pembantu khasnya, Norlia Abdul Rahman di Balai Polis Sentral di sini, kira-kira pada jam 10 pagi semalam.
Norah dalam kenyataan kepada polis berkata, beliau menyedari wujud aktiviti penipuan menggunakan namanya setelah Norlia menerima panggilan ketika berada di Pejabat Pusat Khidmat Tanjung Manis di Kuching.
Norlia yang menerima panggilan pada jam 8.15 pagi 29 Jun, daripada Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Sarikei, Raftiqa dimaklumkan bahawa Zaibidin menyamar sebagai sepupu Norah dengan tujuan mendapatkan keyakinan bagi mengutip wang RM75 dari setiap penduduk di Bintangor.
“Ini merupakan satu penipuan. Saya tidak mengenali individu ini dan tidak pernah mengarahkan sesiapa pun untuk menjalankan aktiviti me-ngutip wang daripada penduduk-penduduk kampung di Bintangor,” katanya.
Wang tersebut dikatakan untuk dilabur dalam Persatuan Usahawan Usahanita Bumiputera PUBS Management & Publication atau untuk menjadi ahli kehormat usahawan Koperasi PUBS. Kegiatan mengutip wang itu dikatakan telah dikesan berlaku selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Jun lalu.
Norah turut menafikan memberi arahan secara lisan atau bertulis kepada Zaibidin untuk menjalankan aktiviti tersebut.
“Saya juga telah membuat semakan dengan Suruhanjaya Koperasi dan mendapati bahawa Koperasi Persatuan Usahawan Bumiputera Sarawak (PUBS) ini tidak wujud,” katanya.

Anak terkejut temui ayah mati tergantung

MIRI: Seorang anak terkejut menemui ayahnya mati tergantung di dalam bilik mandi kediaman mereka di Taman Ceria Permyjaya di sini, petang semalam.
Mangsa, 49 tahun, ditemui oleh anak perempuannya sekitar jam 3 petang sekembalinya dia ke rumah.
Mangsa dikatakan bersendirian ketika kejadian berkenaan.
Polis bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan daripada ahli keluarga mangsa dan tiba di lokasi sekitar jam 4 petang.
Mayat mangsa kemudianya dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk dibedah siasat.
Punca kejadian masih dalam siasatan. Mangsa dikatakan bekerja sebagai buruh kasar dan meninggalkan seorang isteri serta lima orang anak.