Info Berita Terkini Anda...Limbang Tanah Air Ku

Rabu, 22 Jun 2011

ADUN DAP tetap tidak akan pakai songkok

KUCHING: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP tetap dengan pendirian mereka untuk kekal tidak memakai songkok dalam Persidangan DUN Ke-17 ini.
Pengerusi DAP Negeri yang juga ADUN Bukit Assek Wong Ho Leng berkata, ia bukan satu kemestian bagi mereka untuk memakai pakaian rasmi tersebut.
“Negara ini mengamalkan kebebasan untuk beragama, jika kita memakai songkok di mana kebebasan untuk beragama?.
“Ia adalah satu pembaziran kerana mana ada orang buat pakaian rasmi yang dipakai sekali setahun dengan harga RM2,000 sepasang.
“Itu terlalu mahal dan wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan DUN Ke-17 di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemakaian pakaian rasmi dan songkok semasa persidangan.
“Dalam persidangan yang lepas, Speaker DUN telah menggariskan bahawa ia tidak menjadi satu kemestian untuk memakai pakaian rasmi selagi kami memakai pakaian hitam.
“Selagi ia bukan satu kemestian, 12 daripada kami akan hadir memakai pakaian hitam.
“Bagaimanapun, saya tidak katakan ADUN PKR, mereka ada mengatakan akan memakai pakaian rasmi… itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Selain itu, Wong turut menyatakan mengenai isu yang dibangkitkan mereka disifatkan ‘sampah’ adalah sesuatu perkara yang tidak beretika.
“Kenyataan BN sudah menyediakan tong sampah yang besar untuk membuang ‘sampah’ (isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat) daripada kami adalah se-suatu yang tidak ada kelas,” katanya ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh ADUN Baleh yang juga Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing baru-baru ini.
Pada masa yang sama, beliau tidak menafikan bahawa akan berlaku banyak celahan daripada ADUN BN dalam persidangan itu nanti.
“Kami akan buat apa yang kami perlu buat untuk rakyat, kami juga tidak takut kepada mereka (BN)…dijangka banyak celahan akan dilakukan semasa kami membentangkan usul itu nanti,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan