|
|
KUALA LUMPUR - Skrip lama badminton negara berulang di Jakarta semalam, apabila Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia ke separuh akhir Terbuka Indonesia setelah semua wakil negara terkandas awal pada suku akhir.
Chong Wei mempamer aksi meyakinkan dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia, Ogos ini apabila mudah menundukkan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-10, 21-14 hanya dalam masa 34 minit.
Juara Terbuka Indonesia 2007, 2009 dan 2010 itu kini bakal menerima ujian bintang muda China, Chen Long yang mara selepas mengetepikan rakan senegara, Du Pengyu 21-14, 21-15 semalam.
Ketika prestasi Chong Wei tidak diragui, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, sebaliknya mempamer aksi mencemaskan tujuh minggu menjelang Kejohanan Dunia, apabila tunduk kepada pasangan bukan pilihan tuan rumah, Mohammad Ahsan-Bona Septano 19-21, 15-21.
Turut membimbangkan adalah kegagalan pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui untuk kembali menjadi beregu yang digeruni apabila tunduk 17-21, 21-17, 17-21 kepada pasangan tuan rumah, Vita Marissa-Nadya Melati.
"Pada set pertama, mereka mengawal permainan dan mendahului 14-10, namun Boon Heong dan Kien Keat hilang fokus apabila diberi tekanan berterusan, bukan saja oleh lawan tetapi juga penyokong.
"Mereka tidak mampu bangkit pada set kedua. Saya nampak permainan mereka seperti dipaksa-paksa dan serba tidak menjadi. Banyak kelemahan yang didedahkan dalam perlawanan ini,'' kata Rexy ketika dihubungi di Jakarta.
Bagaimanapun tegas Rexy, kekalahan beregu No. 4 dunia itu tidak mencemaskan menjelang Kejohanan Dunia kerana Terbuka Indonesia bukan sasaran utama, sebaliknya ia sekadar medan persiapan sebelum berdepan pentas lebih besar.
Malah dia percaya, suasana di Stadium Tertutup Bung Karno mendorong banyak kejutan berlaku. Kelmarin, bintang China, Lin Dan dan beregu Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae menjadi mangsa kejutan, manakala pada suku akhir semalam, beregu No. 1 dunia, Mathias Boe-Carsten Morgensen dan Kien Keat-Boon Heong berdepan nasib serupa. Juara dunia, Chen Jin turut dikejutkan pemain Jepun, Sho Sasaki 18-21, 21-12, 21-15.
Rexy juga percaya, tempoh tujuh minggu sebelum kejohanan di London bermula pada 8 hingga 14 Ogos ini masih cukup untuk memperbaiki kelemahan yang ada, malah dia akan memastikan pasangan itu kembali ke gelanggang latihan sejurus tiba di tanah air. "Saya mahu mereka kembali berlatih secepat mungkin, tiada rehat kerana mereka perlu memperbaiki kelemahan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan