Info Berita Terkini Anda...Limbang Tanah Air Ku

Ahad, 3 Julai 2011

Messi hampa

LA PLATA, Argentina: Bintang Argentina, Lionel Messi kurang senang dengan permulaan pincang negara itu di Copa America, selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan kerdil, Bolivia di La Plata, semalam.
Skuad Bolivia mungkin pernah mengejutkan pasukan 'albiceleste' dalam kelayakan Piala Dunia, dua musim lalu dengan kemenangan 6-1 di La Paz tetapi perlawanan itu diadakan di tanah tinggi.

Di sini, tiada apa yang boleh dijadikan alasan ketika Edivaldo Rojas hampir memberikan kemenangan pertama Bolivia di bumi Argentina selepas 11 kekalahan sebelum Sergio Aguero (gambar) berjaya menyelamatkan mata dengan sepakan voli saat akhir.
“Pertahanan mereka begitu kukuh, sukar untuk kami mencari ruang,” kata Messi yang biarpun berstatus wira di Barcelona dengan lebih 50 gol semusim, masih gagal mencapai tahap sebenar apabila menyarung jersi kebangsaan.

“Itu bukan sesuatu yang diharapkan dan kami sungguh sedih. Kini kami sedar, kami perlu menang perlawanan berikutnya dalam kumpulan iaitu menentang Colombia dan Costa Rica,” katanya.

Bolivia berazam untuk tidak menjadi pasukan tercorot dalam Kumpulan A dan keputusan seri itu bermakna mereka mempunyai harapan melepasi peringkat kumpulan.

Sementara itu, Messi berkata Argentina perlu menilai kembali kedudukan mereka dan cuba menggunakan kelebihan yang ada untuk meraih kemenangan.

“Kami perlu tenang. Kami tidak bermula dengan baik seperti diharapkan tetapi kami perlu tingkatkan tahap permainan dalam perlawanan berikutnya,” katanya.
 
Aguero pula memberi pujian kepada semangat melawan yang ditunjukkan Bolivia.

“Kami perlu melakukan lebih baik kerana mereka menyukarkan laluan kami biarpun pada mulanya menyangka permulaan kami cukup baik sebelum mereka menjaringkan gol,” kata penyerang Atletico Madrid yang juga menantu bekas jurulatih Argentina, Maradona. - AFP

Hidup kontang-kanting

KUALA LUMPUR: Mereka bahagia pada awal perkahwinan, namun segala-galanya bertukar menjadi ‘neraka’ buat seorang wanita apabila suaminya bukan saja melanggan pelacur berdekatan sempadan Thailand di utara tanah air, malah menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang itu.
Selepas hanyut dalam belaian pelacur, suami Norsiah Ramli, 33, berubah perwatakan menjadi kejam dan bacul.
Dia yang bertugas di utara bukan saja tergamak mendera Norsiah setiap kali pulang ke ibu kota, malah membiarkan wanita itu terkontang-kanting bersama dua anak yang masih kecil dengan hutang keliling pinggang, sedangkan dia leka berfoya-foya.

Hutang sewa rumah saja mencecah RM5,300 selepas lebih satu tahun tertunggak hingga premis milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka diami itu bila-bila masa saja akan ditarik balik.


Itu tidak termasuk tunggakan bil elektrik dan air, ada kala dia dan anak di rumah terpaksa bergelap dan terputus bekalan air kerana bil tidak berbayar sehingga tiga bulan.
 
Mengimbas kisah hidupnya, Norsiah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada Ogos 2008. Sebagaimana pasangan lain yang baru melayari alam rumah tangga, semuanya bermula manis baginya dan suami.

Pun begitu, ia tidak lama. Suaminya yang juga anggota keselamatan dalam sebuah agensi kerajaan mula menunjukkan belang sebenar.

Daripada penyayang, suami Norsiah menjadi tidak berhati perut dengannya. Beberapa lama selepas melahirkan anak pertama, suaminya kerap memukul dan menderanya tanpa belas kasihan.

“Semuanya berubah selepas suami mula ‘menggatal’ dengan perempuan lain. Bila belangnya terbongkar, dia tidak dapat menerima hakikat dan saya dijadikan mangsa,” katanya.

Mei lalu, Norsiah bercerai dan tinggalkan suaminya. Ia juga bukan perceraian pertama bersama lelaki itu, sebelum ini mereka pernah bercerai namun rujuk semula.

Bagaimanapun, status perceraian itu masih tergantung kerana ia tidak laporkan secara sah kepada pihak berkuasa, sebaliknya hanya secara lisan.

Ikuti lanjut kisah duka Norsiah selama tiga tahun bergelar isteri yang dianggap umpama neraka dalam hidupnya.


Dari 2008 hingga 2009

“Pada awal perkahwinan, saya mengikuti suami yang bertugas di utara tanah air. Perkahwinan kami bermula bahagia, namun saya tidak nafikan terlalu banyak kesukaran yang kami terpaksa lalui berikutan halangan keluarga.

Semua itu tidak penting bagi saya, asalkan dapat mendampingi orang yang saya suka dan sayang. Namun, ia (perkahwinan) tidak seperti yang saya impikan.

Selepas anak pertama dilahirkan, saya bagaikan hidup dalam neraka. Saban hari ada saja yang tidak kena dan menjadi pertengkaran antara saya dan suami. Jika dia (suami) rasa tercabar sangat, mulalah dia memukul saya.

Kami mula bertengkar selepas mengetahui suami bermain kayu tiga. Saya dapat tahu suami melanggan pelacur berdekatan sempadan tanah air. Suami menafikannya, tetapi semua itu terbongkar daripada mulut rakannya.

Tidak lama selepas itu, saya dapat tahu dia mula menjalin hubungan dengan pelacur dari Siam. Hancur hati saya apabila dapat tahu suami menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang.

Kami bergaduh teruk selepas itu, tapi apakan daya saya perempuan yang tidak mampu melawan apabila dipukul. Saya dipukul bukan saja dengan tangan dan kaki, malah diperlakukan seperti binatang.

Saya tidak dapat bertahan lagi selepas itu. Kemuncaknya, kami bercerai pada September 2009. Saya pulang semula ke Kuala Lumpur (KL) dan tidak mahu bertemu suami lagi.

Namun, entah bagaimana selepas itu, hubungan kami bertaut kembali. Suami datang ke rumah di KL dan saya pula bagaikan cair dengan pujuk rayunya.

Kami rujuk semula hanya selepas lima hari bercerai. Mungkin kerana sayangkan dia, saya lupa diri dan sanggup mengikut telunjuk suami semula.”


Dari 2009 hingga 2010

“Selepas rujuk dengan suami, saya ingatkan dia akan berubah. Lebih-lebih lagi selepas saya melahirkan anak kedua.

Perangainya bertambah teruk, dia bukan saja masih memukul saya, bahkan berkelakuan ganjil. Isteri mana yang tidak syak jika suami berubah kelakuan, walaupun baru masuk dua tahun bersama, tetapi saya kenal kelakuan suami.

Suami boleh berubah angin bila-bila masa dan seperti biasa saya menjadi mangsa. Pernah sekali, saya membeli-belah bersamanya, entah bagaimana ‘mood’nya (angin) berubah dan memarahi saya. Ketika itu saya mengikut semula suami menetap di utara.

Dia tidak bercakap apa-apa, tiba-tiba saja saya ditinggalkan begitu saja. Masalahnya, rumah kami bukan dekat, satu jam setengah perjalanan baru sampai rumah.

Puas saya menghubungi (melalui telefon bimbit) tidak dijawab. Saya terpaksa meminta bantuan rakannya, tetapi itu pun tidak dilayan suami.

Mujur ada rakan mahu menumpangkan saya tinggal di rumah mereka malam itu, kalau tidak saya hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana.

Sebenarnya, saya syak suami mengambil dadah. Mungkin dia menagih syabu, tetapi sukar pula saya hendak membuktikannya. Jika saya persoalkan, saya dipukul, terasa azab sungguh hidup saya.

Menjelang 2010 pula, sekali lagi suami buat hal dengan ‘betina’ lain. Kali ini bukan dengan pelacur, tetapi penuntut kolej swasta. Hubungan sulitnya sekali lagi menyebabkan pertengkaran antara saya dan suami.

Merajuk dengan kelakuan suami yang tidak mahu berubah-ubah, saya kembali semula ke rumah (di KL).

Pada awal Januari, saya dan suami bergaduh besar ketika dia datang ke KL bertemu saya. Saya dipukul dengan teruk masa itu lalu membuat laporan polis kerana tidak tahan lagi.

Bagaimanapun, saya tidak tahu mengapa selepas saya membuat laporan polis, tidak lama kemudian saya kembali bersamanya.

Hubungan kami kembali pulih, namun itupun tidak lama.”


2011

“Saya bagaikan terpukau dengan pujuk rayu suami. Entah mengapa, walaupun dilayan seperti binatang, saya masih ingin bersama suami yang dayus.

Mungkin memikirkan anak masih kecil, saya tidak mahu berpisah dengannya sekalipun tahu hidup saya akan menderita selagi bersamanya.

Pada Mac lalu, saya bersama suami berkunjung ke rumah seorang rakan di sekitar KL. Ketika saya menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi rakan lain, tidak lama selepas itu saya menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada seorang wanita tidak dikenali.

Daripada lenggok bahasa (dari SMS itu), ia bukan SMS biasa. Saya marah dan tanya suami siapa wanita yang menghubunginya.

Akibatnya, saya dipukul di depan rakan. Dia menumbuk saya bertubi-tubi dan menendang saya tanpa belas kasihan.

Mulut saya cedera dan mata kiri saya lebam. Atas nasihat rakan, saya membuat laporan polis.

Tidak lama selepas itu, pada Mei lalu kami bergaduh besar. Cukuplah... ia adalah kemuncak selepas tiga tahun kami bersama.

Saya tidak dapat bertahan lagi, selain dipukul sehingga lebam di muka, tangan dan kaki, saya ditumbuk hingga gigi patah. Bayangkan, betapa seksanya saya masa itu.

Sekali lagi saya membuat laporan polis. Selepas pergaduhan itu, kami bercerai lagi dan kali ini saya nekad tidak mahu bersamanya lagi.

Sekarang saya sedar, hanya saya yang sayangkan suami. Buat apa saya teruskan hidup bersama orang yang bukan hendak membelai saya, sebaliknya hanya tahu memukul dan mencari perempuan lain.

Hidup saya kini bertambah sukar, saya terpaksa membesarkan anak dan tidak memiliki pekerjaan. Lebih memeningkan, sewa rumah yang saya duduki sekarang banyak tertunggak.

Suami tidak pernah membayarnya, dan tertunggak lebih satu tahun berjumlah lebih RM5,000. Itu tidak termasuk tunggakan bil air dan elektrik.

Terlalu sukar untuk meneruskan hidup tetapi saya reda, mungkin inilah dugaan hidup untuk saya.”

Tragedi cari emas

Sabtu, 2 Julai 2011

Kembalikan kegemilangan sukan

KUCHING: Persatuan-persatuan sukan di negeri ini digesa untuk menganalisis serta mencari jalan bagi merampas kembali kegemilangan sukan yang pernah dikecapi Sarawak sebelum ini.
Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Tan Sri William Mawan Ikom berkata Sarawak perlu berusaha lebih gigih bagi memastikan atlet-atlet negeri ini terus menyinar di pentas sukan baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Saya mencabar persatuan-persatuan sukan di negeri ini agar melibatkan diri dalam pertandingan yang berprestij serta berprestasi tinggi.
“Perkara itu tidak mustahil dicapai jika kita semua menggembeleng tenaga dan bersatu padu dalam mengatur strategi yang memfokuskan kepada usaha untuk memperbaiki tahap pencapaian agar dapat memperolehi kejayaan besar demi mengharumkan nama negeri dan negara dalam arena sukan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan geran persatuan sukan dan pertubuhan 2011 yang turut dihadiri Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap KPSU Soedirman Aini dan Pengerusi Pemadam, Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi di sini, malam kelmarin.
Katanya, hasil komitmen dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan oleh persatuan-persatuan sukan pada masa lalu, Sarawak berjaya melahirkan ramai ahli sukan yang cemerlang dan berjaya sehinggakan mengharumkan nama Malaysia di rantau Asia dan juga dunia seperti Sapok Biki (tinju), Bujang Taha (bina badan), Watson Nyambek (olahraga) dan ramai lagi.
“Kejayaan yang telah diperolehi atlet-atlet kita ini pada pertandingan masa lalu harus dijadikan sebagai kayu pengukur,” tegasnya.
Namun beliau berkata untuk mencapai tahap kecemerlangan itu, ia memerlukan pergorbanan besar daripada semua pihak khususnya atlet itu sendiri.
Berhubung penyerahan geran tahunan kepada persatuan sukan, pertubuhan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang disampaikan malam kelmarin, Mawan berharap ia akan dapat membantu dan digunakan dengan sebaik-baiknya demi mencapai objektif persatuan masing-masing.
Beliau turut menasihiti pihak NGO berusaha untuk mempelbagaikan sumber kewangan masing-masing tanpa banyak bergantung kepada bantuan kerajaan dalam melaksanakan program dan aktiviti mereka dengan jayanya.
“Elakkan diri dari amalan yang mengharapkan dan bergantung sepenuhnya daripada bantuan kerajaan kerana kemampuan kerajaan untuk memenuhi permintaan dari banyak pihak adalah sangat terbatas,” tegasnya.
Walau bagaimanapun ujar beliau, kementeriannya sentiasa menyokong segala usaha NGO untuk melaksanakan apa jua aktiviti yang mampu membawa kepada perubahan positif kepada semua.
Selain itu, beliau turut menggesa pihak persatuan sukan untuk mengemukakan laporan aktiviti mereka pada setiap hujung tahun bagi memudahkan kementerian membuat pemantauan serta penilaian untuk kebaikan dalam bidang sukan di negeri ini.
Pada majlis itu, Mawan menyampaikan geran sejumlah 2.04 juta daripada kementerian kepada 56 organisasi termasuk 44 persatuan sukan dan 12 pertubuhan belia serta NGO.

Pecah amanah, kakitangan Imigresen Miri digantung kerja

MIRI: Seorang kakitangan Jabatan Imigresen Miri digantung kerja sementara untuk membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang berjumlah lebih RM1 juta yang dipercayai telah diselewengkan daripada akaun jabatan berkenaan baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam ketika dihubungi Utusan Borneo dari sini semalam mengesahkan penggantungan tersebut namun memberitahu ia adalah prosedur biasa di bawah Perintah-perintah Am.
“Kami telah mengambil tindakan dengan menggantung kerja sementara kakitangan terbabit untuk membantu siasatan berhubung kehilangan sejumlah wang berkenaan,” katanya.
Pun begitu katanya, tindakan undang-undang yang bakal diambil ke atas kakitangan terbabit adalah bergantung kepada hasil siasatan kelak.
“Saya belum dapat memastikan apakah bentuk tindakan lanjut yang bakal diambil terhadapnya sama ada tindakan disiplin, didakwa di mahkamah ataupun dibuang kerja (sekiranya didapati bersalah) kerana semuanya bergantung kepada hasil siasatan lanjut kelak,” jelas beliau.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Ismail Idris ketika dihubungi turut mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kes tersebut yang dibuat oleh Ketua Cawangan Jabatan Imigresen Miri Timothy Thomas.
Menurut Ismail, sejumlah RM1,079,442.50 telah didapati hilang berdasarkan laporan audit Kementerian Dalam Negeri terhadap akaun jabatan berkenaan.
“Berdasarkan laporan audit itu, bahagian akaun jabatan berkenaan didapati gagal memasukkan kutipan bagi tempoh dua bulan jabatan berkenaan yang berjumlah lebih RM1 juta ke dalam akaun perbendaharaan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai pecah amanah jenayah dan disiasat lanjut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di sini.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebat serta boleh didenda,” katanya sambil memberitahu setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sarawak Datu Robert Lian tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kes berkenaan.

KRT Buangsiul, Tebabang laksana pelbagai program bagi ceriakan sambutan Hari Bapa

LIMBANG: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Buangsiul, Teba­bang di sini turut melaksanakan pelbagai program sosial dan ke­masyarakat kelmarin (Rabu) bagi menceriakan lagi sambutan Hari Bapa.
Pengerusinya, Pedi Amit berkata ,sambutan Hari Bapa mendapat penyertaan menggalakkan dari­pada ahli yang turut sama meme­riahkan program tersebut.
Jelasnya sambutan itu dian­jurkan dengan konsep riadah dan santai supaya golongan bapa dapat berinteraksi dengan lebih rapat dengan anak, sekali gus memupuk semangat kekeluargaan. Antara aktiviti disediakan ter­masuk pertandingan masakan, gubahan bunga, pertandingan mewarna dan pemeriksaan tekanan darah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah.
“Kami yakin dengan adanya program ini, setiap ahli akan dapat menghargai sumbangan seorang ayah selain menceriakan lagi sambutan Hari Bapa,”katanya.Pedi berkata, penganjuran sambu­tan Hari Bapa tahun ini dilakukan bagi memberi kesedaran dan pen­dedahan kepada golongan bapa supaya menjalankan peranan dan tanggungjawab terbaik untuk anak dan membina keluarga sejahtera.
“Golongan bapa berdepan cabaran untuk menguruskan ke­luarga.
“Jadi, mereka perlu mengamal­kan konsep bertanggungjawab dan interaksi dalam mengurus keluarga iaitu perlu sentiasa bertanggungja­wab dan berinteraksi dengan ahli keluarga lain,” katanya.
Pada masa sama katanya, KRT Buangsiul, Tebabang merancang untuk mengadakan lebih banyak program berbentuk kesukanan, kemasyarakatan, sosial dan keba­jikan dalam melestarikan semangat muhibah di kalangan ahli.
Hadir sama ialah Penolong Pega­wai Perpaduan Samsir Sambly.

Khamis, 30 Jun 2011

‘Nak tunggu raya lambat lagi’

USUNG...anggota polis dan keluarga mengangkat mayat Mohd Zamzuri Irwan (gambar kecil).
USUNG...anggota polis dan keluarga mengangkat mayat Mohd Zamzuri Irwan (gambar kecil).
 
KUALA TERENGGANU: Naluri seorang ibu yang tidak sedap hati apabila anaknya memohon maaf ketika keluar rumah sedangkan sebelum ini tidak pernah berbuat demikian, bagaikan petanda anak lelakinya itu pergi menyahut seruan Ilahi selepas terbabit dalam kemalangan malam kelmarin.
Suri rumah, Ramlah Ramli, 55, berkata, dia tidak menyangka kata yang disangka gurauan itu sebenarnya ‘permohonan terakhir’ daripada anaknya Mohd Zamzuri Irwan Mamat, 27, supaya dimaafkan segala kesalahannya sebelum ini.

“Petang semalam (kelmarin), selepas membasuh motosikalnya yang baru dibeli sebulan lalu, arwah meminta maaf dan terkejut dengan kelakuan peliknya itu saya bertanya semula kenapa cakap begitu.
“Kemudian arwah beritahu kalau nak tunggu raya lambat lagi, jadi baik minta maaf sekarang sambil saya memberitahu sentiasa memaafkannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), malam kelmarin.

Mohd Zamzuri Irwan yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian manakala rakannya, Mohd Arif Muhammad, 25, yang membonceng bersamanya parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan kereta Proton Wira di simpang tiga lampu isyarat Jalan Kampung Pasir Panjang, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Belukar Jambu, Chendering menuju ke pasar raya gagal mengawal kenderaan apabila kereta Proton Wira dipandu buruh, Yusof Rani, 53, bersama isteri dan tiga anak dalam perjalanan dari pusat bandar dikatakan membelok ke kanan memasuki simpang secara mengejut.

Akibat pelanggaran itu, Mohd Zamzuri Irwan yang bekerja sebagai buruh melambung sejauh lima meter dan topi keledar dipakainya turut tercabut serta cedera parah di badan, muka dan kepala.

Manakala, Mohd Arif pula terseret sejauh 10 meter parah di badan dan sehingga kini masih koma serta mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi HSNZ.
Sementara itu, Mohd Zulkarnain Imran, 24, adik kepada Mohd Zamzuri Irwan berkata, dia pelik apabila abangnya tergesa-gesa keluar rumah selepas Maghrib tanpa bercakap sepatah pun.

“Biasanya dia bergurau dan beritahu hendak ke mana, tetapi semalam (kelmarin) dia senyap dan hanya melihat adik-beradik lain di rumah, sedangkan dia jenis yang banyak bercakap.

“Malah apa yang menghairankan dia juga tidak menggunakan motosikal Yamaha RXZ yang baru dibasuhnya seolah-olah sayang hendak keluar kerana baru sebulan dibeli, tetapi menggunakan motosikal Yamaha LC135 milik saya,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan menyebabkan kematian manakala pemandu kereta Proton Wira terbabit diambil keterangan selama dua jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.